GURU BUKAN KERJAYA
Pernah saya berbual dengan mentor Fizik saya di SMK Bukit Changgang, Banting semasa praktikum. Waktu itu dalam perjalanan nak ke perkhemahan sekolah dekat Port Dickson.
"Kalau ko tengoklah, cikgu-cikgu kat sekolah tu, asyik sibuk je. Lepas waktu kerja pun masih kena datang ke sekolah. Kat rumah pun masih buat kerja-kerja sekolah."
"Em, betul!" Saya mengiyakan sahaja.
"Kerja guru ni dah jadi bukan kerja. Dah macam kehidupan." Sambungnya lagi.
Kata-kata itu yang masih saya ingat. 'Guru itu kehidupan'. Saya sukakan ayat ni.
Ya, bagi saya, guru adalah kehidupan, bukan kerjaya.
HIDUP SEBAGAI GURU
Subhanallah! Banyak sungguh tugas guru ni. Seolah-olah semua benda guru kena buat. Sampaikan di luar waktu sekolah pun, masih kena buat kerja sebagai guru.
Sejak lapor diri dan memulakan sesi persekolahan hari Isnin yang lepas, saya masih tercari-cari ruang untuk membiasakan diri. Yalah, masih baru. Banyak lagi benda yang belum tahu. Terutamanya yang melibatkan prosedur dan sistem. Masih terkial-kial nak cari rentak.
Alhamdulillah, ada guru yang selalu membantu.
Tidur saya selalu susah nak lena, risau masih ada tugas yang belum terlaksana. Balik sahaja dari sekolah, bantal dulu yang dicari. Kononnya untuk rehat sebentar. Akhirnya terus terlena. Letih sangat.
Selalunya ada sahaja tugas dibawa pulang. Kononnya nak siapkan di rumah. Tapi, akhirnya tak terlaksana.
Entahlah, kalau di rumah ni, semuanya serba tak kena. Banyak fikir benda lain. Buat kerja lain. Atau terlena keletihan.
Masih tak dapat nak urus masa dengan baik.
Saya mohon doa dari Allah, diberi keberkatan masa dan ilmu. Agar masa dan ilmu yang ada, bermanfaat sepenuhnya.
SENANG LENANGKAH JADI GURU?
Orang selalu kata, jadi guru ni mudah. Kerja setengah hari sahaja. Hujung tahun dapat bonus. Cuti pula banyak. Ya, cakap memang mudah. Cubalah jadi guru!
Kalau sekadar nak jadi guru yang tunggu gaji dan bonus, ya, boleh buat macam tu. Buatlah, lepas confirm jawatan, semua tugas-tugas guru dibuat ala kadar sahaja. Tak ambil berat dengan perkembangan pelajar. Biarlah mereka nak jadi apa pun, asalkan dah masuk kelas untuk mengajar. Buat apa nak susah-susahkan diri!
Saya mohon perlindungan Allah agar tak jadi guru yang macam ni. Mendidik itu amanah. Bila dah jadi guru, amanah itu jadi pilihan utama. Tak boleh nak elak. Mesti dilaksana sepanjang masa.
Selalu kita dengar, guru adalah 'role model' ataupun contoh kepada pelajar dan masyarakat. Bila nak di jadikan contoh, maka contoh itu bukan hanya di sekolah, tapi seluruh kehidupannya.
Kalaulah guru itu berkelakuan baik di sekolah, tapi di luar waktu kerja (sekolah), perangai tak menggambarkan sebagai seorang guru, adakah akan timbul hormat?
Nescaya akan timbul di fikiran pelajar, "ah, cikgu aku pun 2x5=10, sama je lebih kurang macam perangai aku. Kat sekolah bukan main nasihat orang."
Nah, kalau ini berlaku, roh didikan itu tidak akan sampai kepada pelajar. Jadi, macam mana nak membentuk modal insan yang baik?
Di sini tidak boleh tidak, guru sememangnya mempunyai jiwa guru, bukan jiwa kerja guru. Beza!
Jiwa guru, dia memang akan jadi guru. Guru yang murabbi. Sentiasa ikhlas mendidik pelajar dan masyarakat tak kira tempat dan masa.
Jiwa kerja guru pula akan menjadikan 'guru' itu sebagai kerjaya, sebagai sumber pendapatan. Semua untuk gaji. Semua untuk kenaikan pangkat. Tak ada dedikasi dalam mendidik pelajar.
Lihatlah, ke mana-mana guru pergi, mereka akan dipanggil cikgu. Tandanya, kita mesti berjiwa guru. Guru yang murabbi.
Tugas berat menanti guru. Mendidik masyarakat dengan ilmu. Tak kira masa tanpa jemu. Baru layak dipanggil cikgu.
"Guru adalah kehidupan, bukan kerjaya"
Wallahua'lam.
~Mencari Erti Cinta Hakiki~
Posted by Pemuda@gamA at 4:38 PM
- http://pemudaagama.blogspot.com/2010/01/guru-bukan-kerjaya.html
No comments:
Post a Comment